Followers


Tersimpul Janji Antara Kami :

Daisypath Anniversary tickers

Terlafaz Ijab & Kabul Bersama :

Daisypath Anniversary tickers

Bukti Cinta & Anugerah Ilahi :

Lilypie Pregnancy tickers
Showing posts with label TIPS BAKING. Show all posts
Showing posts with label TIPS BAKING. Show all posts

Monday, March 5, 2012

Cara Guna, Simpan, dan Warna Fresh Cream (Non-dairy whipping cream)


Post ini dibuat khas untuk orang yang tiada pengalaman langsung dalam menggunakan fresh cream (nama lain non-dairy whipping cream).

Selalunya fresh cream didapati di bahagian freezer di kedai bakeri supplier dan berada dalam keadaan beku. Sebelum boleh menggunakan fresh cream ikuti beberapa langkah di bawah:

1) Fresh cream yang dibeli biasanya dalam keadaan beku. Nyahbekukannya semalaman atau seharian di bahagian bawah peti sejuk jika ingin menggunakannya esok hari. Jika ingin menggunakannya pada hari itu juga, nyahbeku pada suhu bilik tetapi pastikan jangan sampai terlalu cair. Biar kotaknya masih sejuk (mungkin titisan air akan kelihatan di luar kotak) tetapi apabila digoncang tiada ketulan-ketulan besar kedengaran.

2) Sangat penting: goncang kotak fresh cream sebelum dituang ke dalam mangkuk mixer. Ini kerana ketika ia dinyahbekukan, kemungkinan kandungan cream dan air yang terdapat di dalamnya telah 'seperate' atau terpisah. Jika anda terus tuang dan pukul tanpa menggongcangkannya terlebih dahulu, berkemungkinan fresh cream anda akan lembik dan tidak kaku walaupun telah dipukul lama. Ada kemungkinan anda hanya menuangkan air ke dalam mixer dan bahagian creamnya tertinggal di dalam kotak.

3) Tuangkan jumlah yang ingin digunakan sahaja ke dalam mangkuk mixer. Pastikan tidak melebihi kapasiti mangkuk mixer tersebut kerana fresh cream akan mengembang berkali ganda dari saiz (cecair) asalnya. Tuang 1/5 saiz atau 20% saiz mangkuk mixer anda.

4) Sebaiknya simpan bekas mixer dan beaters (pemukul mixer) dalam peti sejuk hingga sejuk sebelum hendak memukul fresh cream. Ini kerana ia lebih mudah mengembang dalam keadaan sejuk. Gunakan mangkuk stainless steel (jika ada). Walau bagaimanapun mangkuk plastik juga boleh digunakan.

5) Mulakan dengan memukul fresh cream pada kelajuan rendah. Perlahan-lahan tingkatkan kelajuan hingga ke maksimum speed. Selepas beberapa minit apabila fresh cream mula kelihatan pekat, perlahankan speed mixer kepada sederhana (speed 4). Bagi 1C fresh, masa yang diambil untuk memukulnya hingga ke keadaan kental adalah lebih kurang 2 minit.


6) Perhatikan fresh cream anda. Jika ia kelihatan halus tanpa buih-buih besar dan gebu ia sudah boleh digunakan serta tidak terlalu 'lembik' atau 'keras'. Fresh cream yang terkurang pukul akan kelihatan masih boleh mengalir dan lembik. Jika terlebih pukul ia kelihatan kasar dan sangat pekat (apabila cuba dilepa atau dipicit dengan nozzle dalam icing bag ia seperti terlalu berketul-ketul). Jika terkurang pukul, tambah lagi masa memukul. Jika terlebih pukul, tambah sedikit fresh cream (yang masih dalam keadaan cecair dari kotak) dan aduk hingga ia lebih cair.

7) Fresh cream dalam keadaaan kaku (kental) boleh terus digunakan atau disimpan dalam freezer beberapa bulan (bergantung pada jenama). Kek yang dihias dengan fresh cream biasanya akan mula mengeras (hiasan fresh creamnya) selepas hari ke-3. Seeloknya hias sehari atau pada hari anda ingin menghidangkan kek tersebut (setelah beberapa jam disimpan dalam peti sejuk).

8) Apabila anda ingin menggunakan fresh cream yang sudah di'freeze'kan, nyahbekukan fresh cream yang kaku tadi sebentar pada suhu, atau boleh juga dalam peti sejuk bahagian bawah.

9) Fresh cream boleh diwarnakan setelah dipukul kaku. Sebaiknya guna pewarna gel atau jika tiada, pewarna cecair (pastikan jangan terlebih letak, takut kandungan cecair tinggi menyebabkan fresh cream lembik). Ambil kuantiti yang diperlukan dan titiskan beberapa titis pewarna dan kacau menggunakan sudu. Fresh cream yang sudah diwarnakan akan 'matang' atau lebih terang warnanya setelah ia disimpan beberapa jam/semalaman di dalam peti sejuk.

10) Fresh cream kental yang dinyahbekukan kemungkinan akan sedikit cair. Jika ini berlaku, sebelum digunakan pukul dengan mixer sebentar hingga kembali kental.

11) Fresh cream tidak sesuai untuk perjalanan jauh (contoh: perjalanan 5 jam dalam kereta) lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang terik.Paling jauh ia tahan (berdasarkan pengalaman customer) kek yang dihias dengan fresh cream adalah 3 jam dalam perjalanan dalam kereta beraircond. Juga pastikan cream yang digunakan adalah benar-benar non-dairy whipping cream dan bukannya dairy whipping cream. Dan pastikan creamnya telah dipukul hingga betul-betul kental untuk elak ia cepat cair.

12) Untuk mendapatkan fresh cream yang licin dan tidak berlubang-lubang ketika melepa, pukul fresh cream dalam satu arah sahaja. Jangan pukul kiri-kanan kemudian atas-bawah. Pukul samada ikut jam atau lawan jam, 360 darjah, speed medium pada saat-saat akhir. Ini bagi mengelakkan kita memasukkan gelembung udara ke dalam adunan (sama seperti kita membuat buttercream, perlukan kesabaran). Apabila ia kelihatan sudah kental, gunakan speed paling rendah dan kacau perlahan. Tujuannya untuk menyebatikan kembali mana-mana gelembung udara yang terdapat dalam fresh cream tersebut.

13) Sekiranya cuaca ketika anda ingin memukul fresh cream tersebut agak panas, anda boleh meletakkan mangkuk mixer (pastikan ia besi/stainless steel) di dalam mangkuk yang berisi ketulan air dan ais. Ini akan mengekalkan suhu fresh cream supaya sejuk dan memudahkan ia dipukul dengan lebih baik.

Thursday, November 5, 2009

Tips Penting Utk Anda Yg Suka Baking!

Sebenarnya, membuat kek dan biskut juga perlukan sedikit pengetahuan asas.
Hari ini, bukan kaedah memasak saja yang penting, malah bagaimana memilih ramuan kek dan biskut yang baru dalam pasaran.


Berikut adalah beberapa tips yang saya nak kongsi ngan korang :

Telur
Telur yang hendak digunakan untuk membuat kek dan biskut perlu segar. Sebaiknya beli telur daripada penjual di pasar kerana ia tidak disimpan lama berbanding telur di kedai-kedai runcit. Ini kerana lebih ramai orang membeli telur di pasar dibandingkan dengan kedai-kedai. Begitu juga dengan pasar raya. Pasar raya yang sering ramai pelanggan, telurnya sering habis dijual dalam masa satu dua hari.
Untuk membuat kek, sebaiknya pilih telur jenis double A atau yang beratnya sekitar 60 gram sebiji. Jangan gunakan telur besar untuk membuat biskut kerana ia akan meningkatkan kandungan cecair dalam sukatan lantas menjadikan doh lembik. Lazimnya apabila doh lembik, pembuat kuih akan menambahkan tepung ke dalam adunan. Kalau tidak berhati-hati, doh akan mengeras dan rasa biskut juga berubah. Semasa mengadun kek yang tidak menggunakan bahan ovalette untuk membuat kek, telur dan gula hendaklah dipukul hingga benar-benar gebu sebelum dicampurkan dengan bahan lain. Untuk mengetahui telur sudah cukup gebu, cuba ambil sesenduk dan terbalikkan. Jika telurnya tidak jatuh, bermakna ia sudah cukup gebu. Ujian serupa boleh digunakan jika anda dikehendaki memukul putih telur hingga cukup gebu.

Mentega
Apabila membuat biskut, sebaiknya jangan gunakan mentega yang masih keras. Ini kerana mentega yang masih keras perlu dikacau berlebihan hingga jika anda tidak berhati-hati, ia akan jadi berminyak.
Sebaliknya, biarkan mentega lembut sedikit dalam suhu bilik, baru dicampurkan dengan telur dan gula. Kacau ketiga-tiga bahan ini setakat rata saja. Adunan mentega untuk biskut, jika dikacau berlebihan hingga menjadi minyak, boleh menyebabkan biskut bantut. Setelah memasukkan tepung ke dalam adunan mentega untuk membuat biskut, jangan uli berlebihan. Cukup setakat menggunakan hujung-hujung jari saja untuk mengadunnya hingga rata. Menguli doh berlebihan akan menyebabkan biskut menjadi keras. Oleh itu, apabila membuat biskut, buat satu adunan dahulu. Jika mahu ditambah, baru diadun lagi. Dengan demikian, anda tidak perlu adun mentega dalam jumlah banyak kemudian uli doh dalam jumlah yang banyak juga, hingga adunan dilakukan secara berlebihan dan mengganggu tekstur doh. Bagaimanapun, jika anda hendak mengadun biskut dalam jumlah banyak, sebaiknya gunakan mesin pengadun dengan alat adun berbentuk 'K' atau lazim dipanggil sebagai 'K beater'.
Begitu juga apabila mengadun kek. Sebaiknya selepas dibubuh tepung ke dalam adunan telur, jangan diadun terlalu lama hingga semua udara di dalamnya hilang dan kek menjadi bantut. Cukup sekadar lima hingga tujuh minit.


Bakar Kek dan Biskut
Sebelum membakar kek, panaskan ketuhar lebih dahulu pada suhu yang disebutkan dalam resipi. Membakar kek tanpa memanaskan ketuhar lebih dahulu menyebabkan kek rosak.
Apabila membakar hanya satu tin atau satu biji kek, letakkan tin berisi adunan kek di tengah-tengah ketuhar. Jika ketuhar boleh memuatkan hingga adua tin kek, tukarkan kedudukan tin kek iaitu yang kanan dialihkan ke kiri dan sebaliknya kira-kira satu jam selepas dibakar. Ini akan membuat kek masak merata.
Jangan sekali-kali sapukan keliling tin kek dengan mentega sebelum dibubuhkan adunan kek. Cukup hanya sapukan mentega pada dasar tin, kemudian alaskan dengan kertas pembakar kek dan sapukan lagi mentega di atas kertas. Menyapukan mentega di sekeliling tin kek akan menyebabkan kek mengecut. Jika anda membuat kek lapis, apabila kek mengecut, ia akan mengganggu susunan lapisan-lapisan di bahagian tepi kek. Usah segera keluarkan kek yang masak daripada tin. Biar ia sejuk antara lima dengan 10 minit atau hingga ia mantap. Apabila anda membakar dua dulang biskut sekali gus dalam dua rak berasingan dalam ketuhar, pastikan anda alihkan biskut di rak atas ke rak bawah dan sebaliknya selepas membakarnya separuh jalan. Dengan demikian, biskut anda akan masak atau garing sama rata.

Menyimpan Kek dan Biskut
Kek hendaklah betul-betul sejuk sebelum disimpan. Sebaiknya potonglah kek menjadi sekurang-kurangnya enam bahagian dan balut setiap bahagian dengan kertas timah. Simpan kek dalam ruangan beku peti sejuk. Keluarkan satu bahagian kek dan nyahbekukan supaya apabila tetamu datang, mereka tidak dihidangkan dengan kek yang sejuk dan beku. Kek yang sudah dipotong berkeping-keping boleh juga dipanaskan dalam ketuhar gelombang mikro tetapi sekadar untuk beberapa saat saja. Memanaskan kek dalam ketuhar gelombang mikro dalam waktu yang lama akan menyebabkan kek menjadi keras.
Untuk biskut pula, simpanlah semua biskut dalam tin atau bekas yang betul-betul kedap udara. Anda boleh taburkan sedikit gula pasir kasar agar biskut kekal garing.
Apabila biskut sudah lemau, panaskan semula di dalam ketuhar selama beberapa minit, selepas itu sejukkan. Ia akan garing semula.
Akhir sekali, anda di ingatkan agar fahami dahulu segala ramuan dan cara-cara membuat suatu jenis kek atau biskut dalam sesebuah resipi sebelum mencubanya. Jika tidak, pasti anda akan kecewa dengan hasilnya..

SELAMAT MENCUBA !!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...